Monday, September 23, 2013

Isu kerjasama politik antara UMNO dan PAS

Isu perpaduan umat Islam khususnya antara parti politik UMNO dan PAS di Malaysia kembali menjadi topik perbualan oleh masyarakat Islam yang peka dengan isu ini. Isu ini telah dicetuskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bersedia menjalinkan kerjasama politik dengan seteru politik yang sudah tidak asing lagi iaitu PAS dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan Melayu dan Islam. Hal ini kerana kedua-dua parti politik tersebut dianggotai oleh majoriti orang Melayu yang beragama Islam sebagaimana yang diketahui umum. Isu perpaduan ini telah disambut secara positif oleh kepemimpinan UMNO dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) tetapi sukar untuk membaca pendirian rasmi kepemimpinan PAS secara muktamad. Ada yang berpandangan positif dan ada juga yang bersikap negatif terhadap cadangan yang dikemukakan oleh TPM kita.
Mereka yang berpandangan positif terhadap isu tersebut sudah pasti berfikiran bahawa melalui jalan kerjasama politik sesama umat Islam yang bertelagah disebabkan perbezaan fahaman politik mampu membuatkan umat Islam kembali bersatu dalam perkara-perkara yang melibatkan kepentingan Melayu dan Islam, seperti penguasaan ekonomi Melayu dan bumiputera, isu fahaman syiah, agenda pluralisme, isu kalimah Allah, sekularisme, rasuah, kebajikan rakyat pelbagai kaum, pengukuhan institusi beraja dan sebagainya. Bersatu tidak semestinya PAS dan UMNO perlu bergabung membentuk satu parti baru. Bersatu di sini bermaksud bersatu dalam apa sahaja isu-isu yang melibatkan kepentingan orang Melayu dan Islam. Perlu difahami bahawa memperjuangan nasib Melayu bukan bermaksud kita bersikap assobiah selagi kita tidak menindas hak kaum lain sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan. Perkara ini selalu disalah tafsir oleh segelintir pihak.
Bagi yang menolak kerjasama politik ini, bolehlah dikatakan bahawa mereka ini tidak mahu melihat bangsa Melayu yang sudah tentunya beragama Islam ini bersatu. Mereka beranggapan bahawa hanya parti mereka sahaja yang sempurna dalam segenap aspek dan parti lawan sangat jijik dan kotor bagi mereka untuk menjalinkan kerjasama. Inilah doktrin yang dibawa oleh mereka yang akhirnya merugikan umat Islam. Mereka menjadi batu penghalang bagi mengurangkan pertelingkahan politik sesama bangsa dan agama. Mereka menghukum bahawa parti lawan mereka menolak Islam disebabkan tidak melaksanakan hudud yang menjadi salah satu sebab mengapa mereka menolak kerjasama politik yang ditawarkan oleh parti lawan. Sudah tentu parti lawan tersebut bangkit menafikan hal tersebut. Hudud memang wajib diimani oleh setiap orang Islam dan wajib dilaksanakan apabila cukup syaratnya. Saya bukanlah orang yang arif dalam menerangkan hukum hudud secara terperinci, cukup dengan pengetahuan asas mengenai hukum tersebut Hal ini kerana terdapat perbezaan ulama dalam menentukan hukuman hudud jika melibatkan orang Islam dan bukan Islam disebabkan perbezaan pegangan mazhab. Anehnya, mereka boleh pula menjalinkan kerjasama politik dengan PKR  yang diserapi dengan fahaman liberalisme lebih-lebih lagi dengan DAP yang membawa ideologi politik yang boleh dikatakan bertentangan dengan ideologi atau agenda politik yang mereka ingin bawa. DAP sudah terkenal dengan konsep Malaysian Malaysianya, penolakan terhadap hudud secara konsisten (over my dead body), pro- komunis dan pelbagai lagi perjuangan yang sangat bertentangan dengan perlembagaan negara di samping mencabar kedaulatan Islam sebagai agama persekutuan Malaysia. Kerjasama dengan DAP yang dahulunya saling bermusuhan antara satu sama lain mampu dijayakan dan ingin diteruskan sedangkan kerjasama dengan parti yang sebangsa dan seagama di mana dalam perlembagaannya termaktub perjuangan menegakkan syiar Islam dipandang sinis. Sungguh menghairankan. Bukankah kita dituntut untuk bersatu padu kerana setiap muslim itu bersaudara. Yang mana lebih utama, kerjasama politik dengan umat Islam yang ingin berdamai atau orang kafir apatah lagi yang secara terang-terangan anti Islam? Sudah tentu saudara seagama yang menjadi pilihan utama demi kemaslahatan dan kepentingan Islam. Jika fahaman Asalkan Bukan UMNO yang diterapkan, memang kerjasama dengan DAP menjadi pilihan. Soal DAP menyokong komunis, menolak hudud, mempertikaikan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera yang termaktub dalam perlembagaan negara dengan membawa konsep Malaysian Malaysia seolah-olah tidak wujud pada pandangan mereka apabila beranggapan bahawa parti DAP itu lebih baik dan mulia daripada parti sebangsa dan seagama dengan mereka. Adakah mereka yakin bahawa kerjasama politik dengan DAP dapat memberi keuntungan kepada Islam dan juga orang Melayu? Adakah perjuangan melaksanakan hudud dapat ditegakkan jika bercampur dengan puak yang membawa fahaman liberalisme, pro komunisme, pluralisme, syiah dan juga anti pelaksanaan hudud?  Dan mampukah PAS menjadi parti yang mampu menundukkan segala perjuangan rakan-rakan politiknya sekarang? Setiap daripada kita boleh menilai sejauh manakah agenda PAS yang ingin diperjuangkan mampu dicapai dalam kerjasama politiknya sekarang. Jika PAS mampu sepakat untuk menjalinkan kerjasama dengan UMNO dalam bidang politik, isu hudud juga boleh dibincangkan secara ilmiah mengenai kaedah pelaksanaannya dalam sebuah negara yang majmuk. Mungkin NGO-NGO Islam lain boleh menjadi orang tengah dalam segala perbincangan yang berkait-rapat mengenai masa depan orang Melayu dan Islam. PAS dan UMNO sudah tentu ada kekuatan dan kelemahan masing-masing. Realiti politik sekarang memang memerlukan umat Islam bersatu mendepani cabaran ideologi  yang dibawa oleh orang kafir dan segelintir umat Islam yang terpengaruh dengan ideologi tersebut. Memandangkan cadangan kerjasama politik dengan PAS diutarakan daripada UMNO, maka UMNO mestilah berniat ikhlas dengan kerjasama tersebut dan sewajarnya disambut baik oleh PAS dan UMNO perlu memulihkan imej parti yang terpalit dengan isu rasuah dan gejala politik wang serta pemerkasaan Islam dalam parti dan juga pentadbiran negara. Itulah yang diharapkan oleh kita semua.
Sampai bila kita ingin melihat umat Islam bercakaran sesama sendiri lantaran perbezaan parti yang dianggotai? Janganlah sampai pertelagahan umat Islam akibat politik menyebabkan musuh-musuh Islam berjaya menguasai pentadbiran negara ini yang merugikan kita semua. Pada saat itu, barulah kita melahirkan rasa kesal kerana berpecah-belah dan mula menggerakkan usaha untuk bersatu-padu. Diharapkan ini adalah sekadar fantasi bukannya realiti. Itulah sedikit kupasan daripada saya, seorang yang tiada keahlian dalam mana-mana parti politik mengenai isu perpaduan umat Islam yang berbeza pegangan politik.
p.s : Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh..:-)


InsyaAllah..


No comments:

Post a Comment