Monday, September 30, 2013

Hati

Assalamualaikum ke atas pengunjung blog ini. Semoga kita semua sentiasa dirahmati oleh-Nya.

Kali ini, saya ingin berkongsi pandangan saya mengenai masalah hati. Hati? Yea, Hati. Mungkin anda cuba membayangkan bahawa saya ingin menceritakan mengenai hati dari sudut kajian sains. Tetapi bukan itu yang ingin saya kongsikan. Saya sebenarnya mahu berkongsi mengenai masalah hati dari sudut pandangan agama. Secara fizikalnya, memang hati kita tiada masalah, kalau ada masalah, mana mungkin saya dapat menulis di blog ini dan anda dapat membaca tulisan saya ini. Hehe. Tetapi, secara rohaninya, hati kita mungkin ada masalah. Huhu..Diharapkan tulisan ini mampu membuatkan saya dan anda semua untuk bermuhasabah, mengenangkan masalah hati yang kita alami ini dan cuba sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah hati yang tidak tenteram ini melalui saluran yang berlandaskan agama.

Baiklah, kita pergi kepada contoh hati yang bermasalah. Contoh pertama ialah hati kita sentiasa berada dalam keadaan tidak tenang, resah dan gelisah. Kegelisahan hati yang kita alami berbeza antara satu sama lain. Jika kita seorang pelajar, mungkin kita berasa stress akibat pelajaran kita. Jika kita merupakan seorang pekerja, adakalanya kita berasa tertekan dengan pekerjaan kita. Masalah hati yang kedua ialah apabila hati kita sentiasa digelumangi dengan perasaan benci terhadap orang yang mendorong kita untuk melakukan ketaatan kepada-Nya dan perkara-perkara kebaikan. Lebih teruk lagi jika memaki hamun orang yang menyeru kita ke arah kebaikan dengan kata-kata kesat. Masalah hati yang seterusnya adalah kita mudah terpengaruh dengan kehendak hawa nafsu untuk melakukan kemungkaran dan maksiat.

Jika hati kita sentiasa resah dan gelisah, tidak tenang, lalu mulalah kita mencari hiburan untuk menghilangkan segala keresahan hati kita. Amat malang sekiranya mekanisma untuk menghilangkan segala keresahan hati tersebut tidak berpandukan ajaran agama. Misalnya, kita mendengar lagu-lagu feveret kita, lagu-lagu Melayu zaman 90 an yang bertemakan cinta manusia yang langsung tidak mendekatkan diri kita kepada Sang Pencipta, lagu-lagu mat salleh, lagu-lagu cinta Indonesia dan sebagainya. Mendengar lagu-lagu sebegini mungkin dapat memberi hiburan kepada hati tetapi hiburan tersebut hanyalah bersifat sementara. Kurang sekali kita ingin mendengar lagu-lagu nasyid yang mampu menggerakkan hati kita untuk sentiasa mengingati-Nya. Ouch, terasa satu tamparan kepada diri ini. Nasihat kepada diri yang lemah ini juga. Pada pandangan saya, mendengar jenis-jenis lagu tersebut tidaklah salah di sisi agama tetapi alangkah baiknya jika lagu-lagu nasyid lebih diutamakan untuk didengari. Ok, itu baru bab lagu. 

Antara perilaku kita yang lain yang bersabit dengan masalah hati adalah suka bermain video game sehingga kadang-kadang kita menunaikan solat pada akhir waktunya. Tidak salah untuk bermain permainan video yang telah dimuatturun ke dalam smartphone kita, laptop dan pelbagai lagi gajet canggih-manggih. Itu bukan isunya. Yang menjadi masalah adalah apabila kita menjadi lalai dalam menunaikan tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya, misalnya solat. Lebih teruk lagi jika kita meninggalkan solat fardhu. Solat merupakan ibadat terpenting dalam Islam kerana ia merupakan perkara pertama yang akan dihitung di akhirat nanti  Pada zaman IT ini, sudah pasti kita mempunyai akaun laman sosial, paling kurang satu. Contoh laman sosial yang popular ialah Facebook, Twitter, Instagram,  dan Whatsapp. Jika kita banyak menghabiskan masa dengan laman-laman sosial tersebut sehingga menjadikan kita malas untuk bersolat, ada sesuatu yang tidak kena dengan hati kita di mana kita berasa berat untuk bersolat sedangkan berasa ringan untuk ber'facebook', ber'twitter' dan bermacam-macam lagi laman-laman sosial yang kita lawati. Alangkah bagusnya jika kita menggunakan media sosial sebagai platform bagi kita untuk melakukan kerja-kerja dakwah di samping tidak mengabaikan tuntutan beribadah kepada-Nya terutama ibadah-ibadah wajib. Nabi pernah bersabda, "Sampaikanlah dariku walaupun hanya satu ayat" (HR Bukhari)

Islam telah menggariskan banyak solusi untuk mengubati masalah hati. Masalah hati ini berkait-rapat dengan keimanan kita yang rapuh, dosa-dosa kita yang terlampau banyak, sedikitnya pahala yang kita kerjakan dan sebagainya. Jadi, hati dipenuhi dengan titik-titik hitam yang menggelapkan hati kita. Antaranya adalah sentiasa berzikir mengingati Allah, membaca Al-Quran, sentiasa berwudhuk, tidak meninggalkan ibadat-ibadat wajib, banyak berpuasa sunat, menghadiri majlis-majlis ilmu keagamaan dan bersedekah. Bermacam-macam lagi perbuatan berlandaskan ajaran Islam yang boleh menenangkan hati kita daripada kita mencari hiburan-hiburan kononnya untuk menenangkan hati tetapi sebaliknya menambahkan lagi ketidaktenteraman jiwa. Dengan cara ini, barulah hati kita diterangi cahaya yang memandu kita ke jalan yang diredhai-Nya yang menjadi sebab utama hati memperoleh ketenangan. Kita sedia maklum, Islam merupakan cara hidup merangkumi segenap aspek kehidupan manusia atau dalam bahasa Inggeris, Islam is the way of life.  

Kesimpulannya, penting bagi kita untuk sentiasa memastikan hati kita sentiasa bersih dan tidak bermasalah. Jika hati kita bermasalah, rawatilah dengan cara-cara yang diajar oleh agama kita. Wallahualam.


                            Antara zikir penenang jiwa. Ihsan: Youtube

No comments:

Post a Comment